1. Menutup aurat.
Firman Allah SWT: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar)”
(Surah al-Ahzab:59).
• Aurat wanita dengan lelaki bukan mahram ialah seluruh tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Asma’ RA:
“Wahai Asma’! Sesungguhnya seorang wanita apabila sudah baligh, dia tidak patut memperlihatkan tubuhnya itu melainkan ini dan ini, sambil baginda menunjukkan muka dan kedua-dua telapak tangannya.”
(Riwayat Abu Daud)
• Aurat lelaki dengan wanita bukan mahram ialah daripada bahagian pusat sehinggalah ke lutut.
2. Menjaga pandangan.
“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.” (Surah an-Nur, 30-31).
Bukan semua pandangan diharamkan. Imam asy-Syarbini menerangkan: “Pandangan juga dibolehkan pada bahagian yang bukan aurat dengan syarat tidak disertai syahwat dan aman daripada nafsu.” (Mughni al-Muhtaj)
3. Tidak berdua-duaan.
Ibn Abbas RA berkata, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda di dalam khutbahnya: “Tidak boleh bagi seorang lelaki berkhalwat(bersama) dengan wanita melainkan bersamanya mahram.” (Riwayat Muslim)
Perlu diingatkan bahawa, mahram yang menemani pula mestilah yang memahami hukum-hakam agama dan mampu menegur jika kita melakukan maksiat ketika bersama dengan mereka yang bukan mahram. Namun, berapa ramai mahram yang membiarkan sahaja saudaranya melakukan maksiat!
4. Tidak melembut-lembutkan suara.
Firman Allah S.W.T.: “Maka janganlah kamu wahai-wanita,merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik (kandungan dan tatacaranya)” (Al-Ahzab :32)
Imam As-Suddi berkata : Larangan ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat.
(Tafsir Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 14/177).
Ini semua termasuklah dalam bermanja-manja dengan bukan mahram, menzahirkan kata-kata romantik, berbual di telefon sambil meluahkan rasa cinta, ber ‘I Love U’ dan ‘U Love Me’, ‘I miss U’, dan lain-lain.
5. Tidak bersentuhan (tidak kira berlapik mahupun tidak).
Daripada Ma’qil bin Yasar r.a.: “Bahawa ditusuk kepala dengan jarum besi lebih baik daripada memegang-megang perempuan yg tidak halal baginya.”
(Riwayat at-Thabrani, di sahihkan oleh al-Albani di dalam Shahih al-Jami’:5045).
Bersentuhan ini termasuklah bersalaman, berpegangan tangan, bertepuk tampar dan lain-lain tidak kira berlapik mahupun tidak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment